Thursday, August 10, 2006

Pengenalan GKLN Publishing House

GKLN Publishing House atau GPH merupakan sayap publikasi Grup Karyawan
Luar Negara yang bertindak sebagai penerbit karya-karya ahli GKLN yang
terpilih. Walaupun tubuh secara rasmi pada Jun 2008, namun usaha
penerbitan GKLN telahpun dimulakan sejak 2006 lagi dan kewujudan GPH
lebih kepada usaha penjenamaan dan pengukuhan semula bahagian
penerbitan dalam GKLN. Sebelum ini GKLN telah banyak berkerjasama
dengan Esastera.com sebagai projek penerbitan bersama oleh kerana
persamaan kedua-duanya yang mengaplikasikan media siber sebagai medium
komunikasi yang utama. Sehingga kini GPH memberi tumpuan kepada
penerbitan karya-karya sastera seperti cerpen dan puisi. Namun begitu,
keterbatasan genre ini bukanlah disebabkan kekangan polisi dan
kehendak GPH, tetapi kerana kekurangan bahan dari genre yang lain.
Diharap melalui GPH, maka lebih banyak penerbitan termasuk dari genre
lain seperti novel, buku ilmiah, motivasi, dan sebagainya. Umumnya,
GPH mempunyai dua divisyen berbeza iaitu GPH Tunas dan GPH Khazanah




GPH Tunas



Unit ini memfokuskan kepada penerbitan buku-buku bersama (empat orang
dan ke atas) seperti antologi cerpen, puisi, dan artikel. Matlamat
unit ini adalah memberi galakan dan pendedahan kepada para ahli,
terutamanya yang baru berjinak-jinak dalam penulisan untuk terus
berkarya. Unit ini juga bertujuan mengumpulkan karya-karya ahli
sebagai tanda apresiasi dan tujuan pengabadian karya tersebut dalam
bentuk cetak.



Judul yang telah terbit di bawah unit ini:

1) Al Andalus Menangis, 2006 (antologi puisi)

2) Wilayah Cinta, 2007 (antologi puisi)

3) Jalan Jauh ke Ramallah, 2007 (antologi cerpen)

4) Mengemis di Kota Larangan, 2008 (antologi cerpen sempena Sayembara Cerpen GKLN 208)

5) Bahasa Bumi, 2008 (antologi puisi 50 penulis)





GPH Khazanah


Unit ini bertumpu kepada penerbitan buku-buku persendirian, atau
berduet (atau bertiga) seperti kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel,
dan sebagainya. Unit ini pula bertujuan memperkenalkan individu
penulis (yang juga ahli GKLN) secara lebih khusus kepada khalayak
melalui pembukuan karyanya secara persendirian. Melalui pendekatan
ini, diharap dapat membantu mempromosi karya penulis individu tersebut
secara lebih berkesan. Juga unit ini bermatlamat menerbitkan koleksi
lengkap (atau terpilih) karya-karya penulis yang sudah giat berkarya
sebagai tanda kewujudannya dalam dunia penulisan selain memudahkan
pengkaji dan khalayak mendapatkan karyanya secara kolektif.



Judul yang telah terbit di bawah unit ini:

1) Menggeledah Nurani, Fahd Razy, 2008 (kumpulan puisi)

No comments: